tak sempat taubat… 17/06/2009
Posted by razizam1382 in Jenayah.add a comment
Oleh Mohd Amin Jalil dan Nor Aziah Othman
am@hmetro.com.my
PORT DICKSON: Akibat terlalu panik, seorang gadis yang terkejut dan terlalu takut ditangkap basah oleh pegawai penguat kuasa agama, maut selepas bertarung nyawa selama 10 jam akibat terjatuh dari tingkat tiga sebuah hotel bajet di Teluk Kemang, dekat sini, kelmarin.
Dalam kejadian jam 3 pagi itu, mangsa yang memakai baju-T dan kain, dipercayai terjatuh dari tembok tingkap di bilik berkenaan sebelum kepalanya dipercayai terhempas pada bucu longkang menyebabkannya cedera parah.
Sebelum itu, mangsa berusia 20-an yang dipercayai bekerja di sebuah institusi kewangan di Lembah Klang, dipercayai datang ke bandar pelancongan ini bersama pasangan lelakinya berusia 30-an sebelum menginap di hotel terbabit.
Berikutan kejadian itu, mangsa dikejarkan ke Hospital Port Dickson (HPD) untuk rawatan sebelum dipindahkan ke Hospital Tuanku Jaafar Seremban (HTJS) Seremban, tetapi disahkan meninggal dunia jam 3 petang hari sama.
Sumber berkata, kejadian dipercayai berlaku apabila sepasukan lapan pegawai penguat kuasa Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) melakukan pemeriksaan di bilik berkenaan selepas menerima aduan berhubung kegiatan khalwat.
Menurutnya, sebelum itu, pegawai penguat kuasa mengetuk pintu bilik berkenaan selama 10 minit sebelum seorang gadis membuka pintu dan mangsa mempamerkan riak wajah terkejut apabila pegawai terbabit menunjukkan kad kuasa untuk melakukan pemeriksaan.
“Secara tiba-tiba gadis itu terus berlari ke dalam bilik lalu memanjat tingkap, tetapi dia (mangsa) hilang imbangan ketika berdiri di tembok birai tingkap berikutan hotel terbabit tidak mempunyai balkoni lalu jatuh.
“Gadis berkenaan ditemui dalam keadaan berlumuran darah di bawah hotel apabila kepalanya dipercayai terhantuk pada longkang, manakala pasangan lelakinya ditemui berada di atas katil dalam bilik yang diperiksa itu.
“Pegawai penguat kuasa yang menyedari kejadian itu menghubungi pihak polis dan HPD bagi mendapatkan bantuan sebelum mangsa dikejarkan ke hospital berkenaan dengan menggunakan ambulans untuk rawatan lanjut,” katanya di sini, semalam.
Sumber itu berkata, mangsa terpaksa dirujuk ke HTJS jam 5 pagi kerana mengalami kecederaan serius di kepala dan anggota badan sebelum ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU).
Menurutnya, gadis itu, bagaimanapun disahkan meninggal dunia kira-kira jam 3 petang selepas 10 jam bertarung nyawa dan jenazahnya dituntut ahli keluarganya pada hari sama bagi urusan pengebumian.
Katanya, pasangan lelakinya ditahan untuk siasatan mengikut Seksyen 61 (1) Enakmen Jenayah Syariah Negeri Sembilan 1992 kerana kesalahan berkhalwat, yang mana sabit kesalahan boleh didenda RM3,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya.
Sementara itu, Pemangku Pengarah JHEAINS, Selamat Paigo, ketika dihubungi semalam, mengesahkan mengenai kejadian yang menimpa mangsa, tetapi enggan mengulas lanjut kerana insiden itu sudah diserahkan kepada pihak polis untuk siasatan.
Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Mazlan Othman, pula gagal dihubungi untuk mendapatkan ulasan berhubung kejadian itu.
–
Jual adik tukar dadah 17/06/2009
Posted by razizam1382 in Jenayah.add a comment
Jual adik tukar dadah
Oleh Zainuddin Zain
zainuddin@hmetro.com.my
ALOR STAR: Ketika pusara ibu masih ‘merah’, seorang lelaki durjana sanggup menjual adik kandungnya kepada pengedar dadah sebagai tukaran untuk mendapatkan bahan haram itu bagi melepaskan ketagihannya.
Lelaki berusia lewat 20-an itu yang tinggal di Jalan Langgar di sini dipercayai berbuat demikian kira-kira dua minggu selepas kematian ibu mereka pada pertengahan bulan lalu, apabila berada dalam keadaan gian kronik, tetapi tidak mempunyai wang untuk membeli dadah.
Berikutan itu, lelaki terbabit mengambil jalan mudah dengan menyerahkan adik perempuannya yang berusia 20 tahun untuk menjadi pemuas nafsu ‘tokan’ atau penjual dadah sebagai tukaran untuk mendapatkan dadah berharga kurang RM100.
Bagaimanapun, gadis yang ‘lurus bendul’ akibat tidak pernah bersekolah itu bernasib baik apabila menyedari niat buruk abangnya yang mahu menyerahkannya kepada lelaki tidak dikenali yang kemudian membawanya ke sebuah rumah, tetapi mengambil keputusan untuk melarikan diri.
Gadis berkenaan kini hidup merempat dengan tidur di kaki lima bangunan atau pondok yang didirikan di kawasan rekreasi di sekitar bandar raya ini, selain mengharapkan simpati orang ramai untuk mendapatkan sesuap makanan.
Sumber berkata, gadis itu dikesan tidur di kawasan rekreasi bersebelahan Sungai Kedah di sini sejak seminggu lalu sebelum ‘dijaga’ sekumpulan lelaki agak berusia yang boleh digelar pak cik bagi mengelak kejadian tidak diingini.
Menurutnya, walaupun kumpulan lelaki itu hidup merempat dengan berteduh di kaki lima bangunan dan menjalankan pelbagai kerja termasuk menjaga parkir, namun mereka menjaga gadis berkenaan dengan baik.
“Berdasarkan perbualan dengan gadis itu, masalah utamanya sekarang ialah ketiadaan surat beranak dan kad pengenalan.
“Dia mengaku ibunya warga Thailand yang meninggal dunia baru-baru ini, manakala bapanya rakyat tempatan, tetapi sudah lama meninggal dunia.
“Arwah ibunya pulang ke kampung di Thailand ketika melahirkannya dulu sebelum kembali semula ke sini, tetapi tidak pernah mendaftarkan kelahirannya menyebabkan dia tidak mempunyai dokumen pengenalan,” katanya yang enggan mendedahkan identiti atas faktor keselamatan.
Menurut sumber itu, beberapa peniaga seperti pemilik restoran sebelum ini berminat mengambil gadis berkenaan bekerja, tetapi membatalkan hasrat apabila mengetahui yang dia tidak mempunyai dokumen pengenalan.
“Mereka bimbang sekiranya premis mereka diserbu pihak berkuasa terutama Jabatan Imigresen, mereka akan menghadapi masalah apabila dituduh menggaji pekerja asing tanpa permit,” katanya.
Saksi berkenaan membawa wartawan Harian Metro berjumpa gadis itu yang bagaimanapun tidak mahu dirakam gambar berikutan bimbang diketahui dan membangkitkan kemarahan abangnya yang mungkin akan memburunya.
“Saya kini sebatang kara. Bagaimanapun, hidup sekarang jauh lebih baik daripada menjadi pemuas nafsu hanya untuk membolehkan abang kandung melepaskan giannya,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Kedah, Zulkifli Ramli, ketika dihubungi berkata, berikutan gadis itu berusia di atas 18 tahun, jabatan berkenaan perlu menghantar pegawai termasuk kaunselor untuk menemuinya bagi mencari kaedah bentuk bantuan yang boleh dihulurkan kepada mangsa.
–
Perihal Filem…. 19/05/2009
Posted by razizam1382 in Hiburan.add a comment
Berikut adalah perbezaan antara filem/drama MELAYU, CINA dan INDIA.
Drama/Filem Melayu
1. 80% jalan cerita berkisar tentang:
a. Cinta.
b. Cinta 3 segi.
c. Cinta 4 segi.
d. Anak-anak rebut harta pusaka.
e. Kalau keluarga kaya, anak2 rebut sapa nak gantikan Tan Sri (ayah) jadi
Pengerusi, CEO atau Presiden syarikat.
2. Walau pun cerita pasal awek kilang, rumah awek kilang ni mesti complete furnished.
Ada TV 29″, Home Teatre, peti sejuk besar, set sofa mewah. (Director tak buat home
work ker? Pegi la tengok umah awek kilang kat Sungei Way tu).
3. Cerita polis lak, dialah pegawai penyiasat, dialah jadi forensic, dialah jadi
pathologist, dialah yang gi ambush. Semuanya DIA yang buat. Polis lak dialog pakai
bahasa buku. “Saya rasa kita patut siasat dengan lebih terperinci tuan”. ” Betul
cadangan awak itu. Kita bertindak sekarang”.
4. Kalau cerita pasal Construction, bawak satu pelan gulung, pakai topi KUNING,
tunjuk-tunjuk kat bangunan tengah buat, discuss dengan ‘kepala’ Indon komplen
kenapa projek lambat siap kat Indon tadi. ( Topi kuning utk pekerja buruh la bang ).
5. Adegan doktor kat Wad check pesakit. Ambik fail hujung katil, selak-selak. Dialog
wajib : “Kesihatan awak bertambah baik. Banyakkan berehat dan jangan lupa makan
ubat “. ( Woi bang, tengokla cerita ER tu, Dr ada medical terms dia ).
6. Adegan kat umah. Ayah mesti tengah baca paper, Mak mesti tengah menjahit atau
lipat baju. Orang gaji tengah basuh pinggan. Orang gaji mesti nama dia Mak Nab
atau Mak Jah.
7. Nak panjangkan rakaman filem mesti ada adegan kereta sampai kat umah, bukak
pintu kereta, bukak pintu pagar, masuk balik kereta, drive masuk car porch, keluar,
tutup pintu pagar.
8. Adegan sembahyang mesti dah salam akhir or adegan mengaji Quran mesti dah
sampai part sadakallah hulazim. ( Cover line kot ).
9. Gangster atau kuncu orang jahat mesti pakai baju takder lengan, pakai rantai dan
pakai bracelet.
10. Nak bagi sedih gila, mesti buat adegan dah tahu nak mati pasal kena barah otak.
Drama/Filem Cina.
1. Cerita Kungfu, hero terror boleh terbang. Tapi sambung pengembaraan mesti jalan
kaki. Apsal tak terbang jek. Kan cepat sampai.
2. Hero mesti miskin gila. Tapi mesti ada sekeping or 2 keping duit siling kat celah
lengan besar jubah dia.
3. Kalau cerita moden hero boleh lawan dan tewaskan 30 orang penjahat serentak.
4. Biasalah, kalau kena tembak mesti kat bahu or kat kaki. Tak mati.
5. Heroin mesti jadi bini or girlfriend boss penjahat dan jatuh cinta kat hero.
6. Hero mesti menembak pakai 2 pistol, kiri dan kanan. Macam Chow Yuen Fatt dalam
filem ‘A Better Tomorrow’. Tapi best ooo…..
7. Pistol hero mesti peluru tak habis2. Tak payah reload.
8. Cerita hantu, hantu dia biasanya pakai bedak muka tebal2 dan hitamkan keliling
mata. Kat bibir ada darah meleleh. ( Tak seram pun ).
9. Kalau cerita lucu plak, mesti ada adegan air liur meleleh keluar mulut macam air
paip.
10. Cerita Blue dia pun tak best. Awek mengerang jek lebih.
Drama/Filem India/Hindustan.
1. Biasalah, kebanyakan cerita bermula dengan 2 beradik terpisah. Sorang di bela oleh
orang jahat dan sorang lagi dibela oleh orang baik. Dah besar, abang jadi Inspektor
Sahab dan adik jadi gangster. Nak abih cerita mesti adik kena tembak ngan abang
dan waktu nazak baru si abang tahu yang dia tembak tadi adalah adiknya sendiri
melalui tanda parut.
2. Orang jahat digambarkan tersangat jahat sampai lembu pun takut.
3. Selalunya depa suka ciplak bulat2 filem barat macam Pretty Woman, Face Off dan
Heat.
4. Paling pendek pun jangkamasa tayangan adalah 3 jam.
5. Orang jahat dan hero payah nak mati walaupun kepala dah kena ketuk dengan
tukul besi.
6. Hero tak kena tembak walaupun ditembak dari jarak satu kaki.
7. Adegan joget sambil menyanyi akan melibatkan penari iringan seramai satu
kampong dan bertukar 7 atau 8 pasang pakaian untuk setiap lokasi hanya untuk satu
lagu.
8. Adegan keretapi tak leh tertinggal. Joget reramai sampai atas bumbung keretapi.
9. Kalau cerita moden, dialog mesti bercampur bahasa omputeh dan Hindi. Contoh
‘ I’m sorry. I didn’t know that na pere tomhe cha….bla.. ..bla…. bla…’.
10. Biasanya plot dan jalan cerita da boleh baca apa penyudahnya. Tu yang pelik
ramai plak yang tunggu sampai abih.
Sekian laporan ikhlas untuk pedoman tuan2 director filem.
Yang benar,
Ah yau Jengkol Spielberg.
( Sepupu tiri sebelah nenek sedara Steven Spielberg ).
Hairan sungguh………. 18/05/2009
Posted by razizam1382 in Hiburan.add a comment
Hairan sungguh……….
1. Bila kita ke EPF untuk menyemak caruman, dengan sekelip mata saja penyata dapat dikeluarkan melalui slip komputer, tetapi bila kita nak mengeluarkan simpanan, kena tunggu 5 hingga 6 bulan.
2. Bila kerjaan menetapkan hadlaju lebuhraya setakat 110km sejam sahaja, tetapi masih membenarkan penjualan kenderaan yang mampu melepasi hadlaju tersebut sehingga dua kali ganda.
3. Bilamana kakitangan kerajaan yang dibayar gaji dari hasil dan pendapatan rakyat berlagak sombong bilamasa berurusan dengan orang ramai.
4. Bila mengenangkan harga kereta Proton lebih murah diluar negara daripada di negara sendiri.
5. Walaupun berpuluh-puluh filem bollywood ditayangkan dengan hanya tajuk berbeza, tapi dengan plot yang sama, rentak tarian yang seiras dan pelakon-pelakon yang serupa, maseh ramai jugak yang berpusu-pusu untuk menontonnya.
6. Bilamana perempuan ditinggalkan oleh lelaki, lelaki dituduh tidak setia, tetapi bilamana perempuan meninggalkan lelaki, lelaki pulak dikatakan tidak memenuhi citarasa.
7. Bilamasa kita menanyakan status berkenaan sesuatu permohonan kepada Jabatan-Jabatan Kerajaan, jawapannya semua serupa….DALAM PROSES!
8. Bilamasa mengenangkan adat sopan santun kita untuk tidak menghabiskan juadah makanan yang dihidangkan oleh tuan rumah bila kita mengunjung walhal dari segi agama mengatakan jangan membazir!
9. Bilamasa kita terlambat untuk membayar pinjaman bank, kita akan dikenakan faedah keatas bayran tersebut, tetapi bila bank terlebih potong, kita kena tunggu sampai 4-5 bulan walaupun untuk mendapat 5 sen balik…tanpa faedah!.
10. Bilamasa kita terlambat untuk sampai ke lapangan terbang untuk check-in, kita akan didenda 25% dari tambang kapalterbang, tetapi bila penerbangan dibatalkan atau terlambat, satu benda pun kita tak dapat melainkan penat menunggu!
11. Kenapa pemilik teksi Bandaraya mengenakan tambang 50% selepas tengah malam sedangkan dibandaraya selalunya bercahaya terang (macam siang) dan kurang traffic jam pulak tu….mungkin takut kena rompak…tapi nak buat apa caj lebih pun kalau lepas tu kena rompak?
12. Bilamasa kita makan di restoran-restoran makanan segera kita dikenakan caj 10% cukai kerajaan dan 5% cukai perkhidmatan sedangkan cukai kerajaan itu adalah diatas untung syarikat dan cukai perkhidmatan tak pernah ada sebab semuanya layan sendiri?
13. Bilamana kerajaan menyarankan penggunaan ilmu IT kepada masyarakat sedangkan kakitangan kerajaan sendiri pulak tak tahu nak menggunakan e-mail ataupun komputer.
14. Bilamasa agensi-agensi Kerajaan dan Jabatan berkanun menganggap seolah-olah semua orang tahu bagaimana nak isi borang mereka yang berkajang-kajang dan membawa dokumen yang “secukupnya” bila berurusan dengan mereka.
15. Bilamasa rakyat yang belum mempunyai tanah tak pernah berjaya didalam permohonannya sedangkan orang lain yang mempunyai tanah di merata-rata tempat dengan mudah mendapat lagi.
16. Bila kita melihat di kaca televisyen bahawa pengacara-pengacara muzik semuanya beriras mat dan minah saleh dan muka-muka melayu biasa tak laku langsung.
17. Bilamana telefon bimbit yang diusung kesana kemari, walaupun tak dipakai akan dicaj sekurang-kurangnya RM60 sebulan.
18. Walaupun kita tahu bahawa rancangan gusti di tv itu hanyalah lakonan semata-mata, tapi kita masih bermaki hamun dan bersorak bagai nak rak sedangkan kita tahu kalah atau menang, kesemua pelakon-pelakon tersebut dapat duit banyak.
19. Bilamasa sesuatu “traffic jam” terjadi semasa hujan lebat hanya kerana pemandu memperlahankan kereta untuk melihat air yang berlalu deras didalam longkang.
20. Bila mendengar pengulas sukan kita boleh bersajak dan berpuitis ketika mengulas siaran langsung sesuatu acara sukan.
21. Bila kita menanyakan kawan kita alamat rumahnya. dia menjawab ” mamat@yahoo.com“.
22. Bila mengenangkan pada suatu masa dulu pemain bolasepak liga profesyenal boleh mendapat hingga RM10000 sebulan bermain bola macam budak sekolah sedangkan graduan universiti yang bertungkus lumus selama lapan belas tahun kat sekolah hingga pusat pengajian tinggi menerima gaji permulaan hanya RM1250.00 sebulan.
23. Apabila orang ramai merungut semasa gaji kakitangan kerajaan dinaikkan kerana takut harga barangan pun meningkat, tetapi tidak menyoal pulak apabila harga barangan naik tetapi gaji kakitangan kerajaan maseh ditakuk lama.
24. Apabila surat menyurat kepada Jabatan kerajaan hilang dalam perjalanan ataupun mengambil masa 4 bulan untuk dijawab.
25. Bilamasa melihat harga telefon bimbit sekarang lebih murah daripada sewa taliannya.
26. Bila komputer canggih yang kita beli hari ini dah “out-of-date” selepas sebulan dan kita pun maseh belum habis pelajari kesemuanya fungsinya.
27. Bila melihat harga baju kanak-kanak lebih mahal dari baju dewasa.
28. Bila pos laju mengambil masa seminggu untuk sampai.
29. Bilamana kita membayar RM1.20 untuk membeli surat khabar yang penuh cerita rogol, kes khalwat, serta kisah sensasi artis-artis.
30. Bila kita membeli TV 29″ tetapi hanya dapat menonton 20″ sahaja bila selebihnya dilingkungi dek iklan.
31. Bilamasa teknologi internet sekarang membolehkan seseorang membeli sayur segar menggunakan e-commerce sedangkan laman yang menawar khidmat itu terletak di California, USA.
32. Bilamasa kita demam dan ke klinik untuk berjumpa doktor, kita membayar RM30 hanya untuk sepeket pil panadol sambil diberitahu doctor yang kita ni demam.
33. Apabila kita ke kedai komputer untuk mendapatkan maklumat sesuatu komponen, jurujual menjawab “sikit jam ah…saya mau tanya tauke”.
34. Bilamasa syarikat bas mengenakan tambang yang pelik seperti RM1.75 sambil menyuruh kita menyediakan duit secukupnya sebab lebihan tidak akan dipulangkan, walaupun kita tahu kita jarang sekali menggunakan duit 5 sen.
35. Bilamasa melihat eksekutif-eksekutif maseh memakai kot dan tali leher semasa makan tengahari kat warong tepi jalan walaupun cuaca panas terik.
36. Bilamana penggemar-penggemar dan pemilik kereta bermegah dengan kereta mereka yang berkuasa besar walaupun sedar yang had laju jalanraya disini hanyalah 110km sejam.
37. Bilamasa kita melihat format pertandingan liga bolasepak negara ditukar setiap musim walaupun sedar yang tahap permainan tetap menurun.
38. Bilamasa F.A.M mencari punca terjadi pergaduhan didalam sesuatu perlawanan liga bolasepak negara sedangkan setiap pasukan diberi gelaran nama “binatang”.
39. Bilamasa pemilik kenderaan terpaksa membayar cukai jalan setiap tahun tetapi jalanraya hanya dibaiki lima tahun sekali.
40. Bilamasa artis sanggup menukarkan nama yang mak bapa berikan supaya lebih glamour.
41. Bila pemandu tidak sanggup memberi peluang pemandu lain memotong, tetapi sanggup berhenti untuk mengajak pemandu lain bergaduh ditepi jalan.
42. Bila seorang Pak Aji boleh memberikan komen terhadap kebesaran buah dada seseorang perempuan……….pelik sungguh bila melihat perempuan berjalan hanya matanya kat situ aje……
43. Bilamana pelanggan di McDonald’s membeli air “diet coke” sedangkan mereka juga membeli BigMac yang penuh lemak.
44. Bilamana pelanggan diherdik dan dimarahi apabila berurusan dengan Jabatan kerajaan kerana tidak tahu mengisi borang sedangkan Piagam Pelanggan mereka begitu puitis sekali.
47. Bilamana orang-orang muda sekarang cepat beruban.
48. Bilamana lebih ramai orang, masa kerja ponteng kehulu kehilir tapi bila lepas waktu kerja baru sibuk nak buat overtime.
49. Bilamana ramai yang memberi nasihat yang merosakkan dari nasihat yang baik.
50. Bilamana di setiap rumah murah terdapat kereta yang harganya lebih mahal.
51. Bilamana ditanya apa yang dibentang dalam belanjawan hari ini Cuma bab bonus sahaja yang hanya diingati.
52. Bilamana seseorang suami mendapat sesuatu dari isteri hanya setelah siisteri mendapat sesuatu darinya terlebih dahulu.
53. Bilamana banyak kejadian rogol atau mencabul kehormatan berlaku, masih ada yang ke tempat kerja dengan pakaian yang seksi (baju tanpa lengan dan skirt pendek nampak peha.
54. Bilamana kerajaan mengagung-agungkan MSC masih ramai rakyat buta IT, tak mampu nak membeli komputer, masih menggunakan Dail Up Modem yang terlalu lembab dan membiarkan bayaran langganan untuk ISDN yang terlalu mahal.
56. Ramai orang yang masih menghisap rokok di luar KLIA, terutamanya kakitangan KLIA sendiri, sedangkan KLIA sendiri memaparkan amaran ‘DILARANG MEROKOK’ pada setiap pintu kaca di luar KLIA.
Tapi Aiman tak kesah…………..Ada otak LU PIKIR LA SENDIRI
Negara di ambang republik? 10/05/2009
Posted by razizam1382 in Politik.3 comments
MEMALUKAN, tidak beradab dan gila kuasa. Itulah antara ungkapan yang sesuai untuk menggambarkan kekecohan yang dicetuskan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pembangkang pada mesyuarat pertama penggal kedua sidang DUN Perak, Khamis lalu. Kejadian penuh drama itu menyaksikan ADUN pembangkang hilang kewarasan dan emosional sehingga menjadikan suasana tegang, yang belum pernah berlaku dalam sejarah negara. Lebih daripada itu, rakyat melihat insiden tersebut sebagai suatu penghinaan kepada institusi raja. Pemangku Raja Perak, Raja Dr. Nazrin Shah terpaksa menunggu lima jam sebelum dapat menyempurnakan majlis perasmian. Malah pada ketika baginda hendak menyampaikan titah ucapan, pembangkang bertindak mengganggu dengan memohon untuk mengemukakan bantahan. Keadaan itu memaksa Raja Nazrin memanggil bekas Menteri Besar Perak, Mohamad Nizar Jamaluddin dan bekas exco kanan, Ngeh Koo Ham merapati baginda. Raja Nazrin antara lain menyatakan kepada kedua-duanya bahawa baginda tidak mahu terlibat dalam suasana sedemikian. ‘‘Saya hanya mahu menyampaikan ucapan, jadi hormati ucapan saya apabila saya menyampaikannya. Anda faham? Jika mahu berurusan dengan saya pada masa depan, anda perlu menghormati ucapan saya. Faham?,” titah baginda sambil meminta kedua-duanya memberitahu barisan ADUN pembangkang yang ketika itu berdiri sebagai tanda bantahan, agar duduk supaya upacara boleh diteruskan dengan lancar. Awang menung panjang sambil memendam rasa marah dan kecewa. Belum pernah raja diganggu sedemikian dan terpaksa meminta ADUN untuk menghormati ucapan baginda. Lalu terlintas di kepala Awang, apa hendak jadi jika pakatan pembangkang memerintah negara. Anehnya ketika BN boleh menerima hakikat kehilangan kuasa sebaik sahaja tumbang di Perak, Selangor dan Kedah pada pilihan raya umum lalu (selain yang pernah terjadi di Kelantan, Terengganu dan Sabah), pembangkang pula bertindak sebaliknya. Pakatan pembangkang selalu mendakwa kerajaan BN melaksanakan hukum rimba tetapi siapa yang sebenarnya yang berbuat demikian. Apakah ini budaya politik baru yang dirintis oleh pembangkang? Apakah undang-undang perlu sentiasa memihak kepada mereka dan jika tidak maka dituduh pihak lain yang salah. Dengan kata lain, mereka sahaja mesti betul, lebih berhak daripada orang lain dan mesti terus berkuasa dengan memanipulasi demokrasi untuk kepentingan politik. Tidak menghairankan jika suasana dalam dewan yang mulia umpama acara sarkas dengan ADUN pembangkang mengkasari, menjerit-jerit dan mencaci. Timbalan Speaker, Hee Yit Foong (bebas) yang berstatus Orang Kurang Upaya turut dihina kerana kecacatannya dan diancam oleh ADUN pembangkang. Bekas Speaker, V. Sivakumar pula bersikap kebudak-budakkan enggan mengosongkan kerusi yang bukan lagi haknya. Beliau sendiri yang melacurkan undang-undang. (Tindakannya menggantung Menteri Besar, Dr. Zambry Abdul Kadir dan enam exco BN sebelum ini telah diputuskan tidak sah oleh Mahkamah Persekutuan pada 16 April lalu). Percayalah, senario semacam itu tidak akan dibenarkan berlaku di China, India, Singapura mahupun di negara-negara Barat. Legitimasi atau kesahihan BN berkuasa di Perak adalah jelas dan semudah menghafal sifir untuk kanak-kanak. Pada masa ini, BN dan pakatan pembangkang masing-masing mempunyai 28 kerusi DUN. Di pihak BN, UMNO memiliki 27 kerusi dan MCA satu kerusi. Pembangkang diwakili DAP (17), Pas (6) dan PKR (5). UMNO sendiri ternyata merupakan parti tunggal yang paling banyak kerusi. Bagaimanapun, DUN yang mempunyai 59 kerusi itu kini dikuasai semula BN selepas tiga ADUN pembangkang bertindak menjadi wakil bebas dengan memihak kepada BN. Maka BN mempunyai sokongan majoriti di DUN. Proses itu berlaku dalam lingkungan demokrasi iaitu atas kerelaan tiga ADUN itu untuk menyokong BN (disebabkan kemelut dalaman parti pembangkang sendiri), bukannya dengan melanggar undang-undang atau merampas kuasa menggunakan senjata sebagaimana terjadi sesetengah negara. Tafsirlah angka dan kronologi berlaku peralihan kerajaan itu dengan fikiran yang waras. Sebenarnya ada isyarat yang amat menakutkan dalam kekecohan di Perak. Ia merupakan petunjuk yang kian jelas bahawa Malaysia mahu diheret menjadi negara republik sebagaimana gagasan salah satu parti dalam pakatan pembangkang. Misi pihak-pihak tertentu untuk mewujudkan gelombang ke arah republik kian ketara. Sebelum sidang DUN itu bermula, gerakan menghimpunkan rakyat atas nama One Black Malaysia sudah bermula. Di dalam blog-blog pembangkang, sentimen menolak dan menghina raja dimainkan secara liar. Siapa dalang di belakang gerakan ini semua? Tidak susah untuk membuat telahan. Ia berkait rapat dengan parti yang sejak awal merdeka lagi mengimpikan negara republik dengan dibantu oleh pemimpin Melayu yang sangat terdesak untuk berkuasa. Sememangnya ada tangan ghaib di belakang segala gerakan menggunakan demonstrasi jalanan dan provokasi liar ini. Mujur sambutan di kalangan rakyat dingin kerana mereka sudah bosan dengan politiking yang keterlaluan dan keadaan tidak harmoni. Berdasarkan maklumat yang Awang terima, ada cubaan untuk mencetuskan kekacauan besar dengan menjadikan isu di Perak sebagai pemangkin. Ia antara lain bagi menggugat kerajaan baru pimpinan Perdana Menteri, Najib Tun Razak yang semakin mendapat keyakinan rakyat dengan pelbagai pembaharuan yang digerakkan. Insiden itu memang dirancang dari awal untuk menarik perhatian dunia bagi memburukkan imej kerajaan, sebagai satu lagi sabotaj terhadap negara. Tidak hairanlah kekecohan tersebut sama ada di dalam dewan mahupun tindakan polis menjaga ketenteraman awam di luar, mendapat liputan meluas banyak media antarabangsa. Ia juga bagi memperhebatkan momentum persepsi negatif ke atas imej kerajaan menjelang kes perbicaraan liwat pemimpin PKR, Anwar Ibrahim yang juga ketua pembangkang pada Julai ini. Muslihat sebegini bukan baru. Anwar makin bimbang lebih-lebih lagi banyak perkembangan terkini tidak memihak kepada PKR dan beliau sendiri. Sebab itu, Awang tidak terkejut dengan apa yang berlaku di DUN Perak kerana ia adalah strategi pembangkang untuk sentiasa mewujudkan aktiviti panas dan gelora dari semasa ke semasa agar dapat memainkan sentimen rakyat demi meraih sokongan. Pembangkang akan terus memainkan rentak agar rakyat sentiasa berpolitik tanpa mempedulikan tumpuan yang sepatutnya diberikan untuk bekerja, menjaga keharmonian dan menangani cabaran ekonomi hidup. Apa pun, isu dan insiden terbaru di DUN Perak menuntut renungan semua pihak tentang siapa sebenarnya pembangkang. Pada Awang, pembangkang telah melepaskan kesempatan terbaik untuk memenangi hati rakyat dengan memperlihatkan imej yang amat buruk. Sepatutnya barisan ADUN pembangkang bertindak bijak dengan menerima hakikat mereka tidak lagi berkuasa dan menjunjung institusi raja, nescaya mereka akan mendapat simpati majoriti rakyat. Itu nampaknya tidak berlaku. Yang jelas tindak-tanduk mereka yang menggunakan nama Pakatan Rakyat tidak mencerminkan perasaan dan aspirasi rakyat. Yang lebih meresahkan ialah gerakan politik pembangkang yang ternyata menggugat institusi raja sama ada tersirat mahupun tersurat. Pada mereka, menghina raja sudah dianggap hak demokrasi. Tanpa kita sedari itulah juga kejayaan pembangkang pasca Pilihan Raya Umum Ke-12. Mereka sudah di pertengahan jalan ke arah negara republik, adakah kita mahu merelakannya?
Fenomena Politik Negara 09/05/2009
Posted by razizam1382 in Politik.add a comment
Senario politik negara banyak bertumpu pada pentadbiran negeri Perak pada tahun ini 2009. Siapakah yang salah dan pihak siapakah yang benar? Hakikatnya senario politik negara mula tercetus sejak berakhirnya pilihanraya ke-12 yang menyaksikan kebangkitan parti pembangkang Pakatan Rakyat menafikan kemenangan besar Barisan Nasional di dalam pilihanraya umum ke-12. Dominasi pakatan rakyat yang terdiri daripada PKR, PAS dan DAP berjaya mengkucar-kacirkan sistem pentadbiran Negara yang di terajui oleh kerajaan Barisan Nasional (BN). Namun Kerajaan BN tidak cepat melatah dan terkejut dengan keadaan tersebut. Lantaran jentera kerajaan BN mula mencari jalan penyelesaian dan mengkaji punca masalah yang dialami sama ada di dalam parti ataupun diluar parti. Maka beberapa rombakan besar turut berlaku di dalam kepimpinan negara dan parti UMNO sendiri. UMNO dan kepimpinannya telah menunjukkan keberaniannya membuat keputusan yang drastik demi mempertahankan maruah UMNO dan untuk masa depan rakyat Malaysia. Visi misi UMNO dan Barisan Nasional juga amat jelas dalam mentadbir dan memperjuangkan negara ke arah kestabilan dan keamanan negara. Kita renung sejenak, apakah objektif, misi dan visi parti pembangkang Pakatan Rakyat berkeinginan bersungguh-sungguh mentadbir negara? Sekiranya kerajaan Pakatan Rakyat berjaya mentadbir negara adakah kepimpinan mereka akan lebih baik dari kerajaan Barisan Nasional? Mampukah Pakatan Rakyat mewujudkan suasana kestabilan politik, sosial, ekonomi dan kejayaan mentadbir seperti kerajaan Barisan Nasional semenjak selepas Merdeka sehingga kini. Sedarkah kita bahawa Pakatan Rakyat baru sahaja mentadbir 5 Negeri telah menampakkan kegoyahan dan permasalahan yang dicetuskan oleh ahli-ahli mereka sendiri dalam Pakatan Rakyat. Belum lagi membuka fail pentadbiran kerajaan Pentadbiran Pakatan Rakyat telah menimbulkan banyak masalah dan kekecohan dalam politik. Mereka cepat melatah dan terkejut dengan permainan politik dan ini berkemungkinan pengalaman mereka kurang didalam bidang politik berbanding kerajaan Barisan Nasional yang telah mentadbir selama lebih 50 tahun. Saya terpanggil untuk melihat dan membaca artikel-artikel penulisan blog yang lain yang kebanyakannya mewujudkan rasa kebencian terhadap UMNO dan Barisan Nasional. Semuanya perkara-perkara yang memburukkan barisan pemimpin negara dan pentadbiran kerajaan Barisan Nasional terutama sekali UMNO. Apakah segala yang didakwa dan dihujahi serta dinyatakan itu adalah satu kebenaran atau sekadar tangkap muat sahaja? Bagaimana pula dengan Pakatan Rakyat? Semuanya baik dan betul belaka? Ramai orang mempercayai fitnah daripada cerita sebenar kerana fitnah adalah sesuatu cerita yang ditokok tambah supaya menjadi menarik dan untuk memenangi hati orang lain.